Halaman
▼
Monday, August 21, 2017
Punca Skuad Sepak Takraw Wanita Indonesia Menarik Diri Sukan SEA KL 2017
Skuad Sepak Takraw Regu Wanita Indonesia telah menarik diri dalam perlawanan menentang Malaysia di Sukan SEA KL 2017 ini. Puncanya adalah disebabkan tidak berpuasa hati dengan beberapa keputusan pegawai perlawanan. Berikut merupakan petikan berita daripada stadium Astro - Astro Arena (20 Ogos 2017).
Gara-gara tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pegawai perlawanan, Indonesia mengambil keputusan keluar gelanggang ketika menentang Malaysia dalam acara sepak takraw regu wanita Sukan SEA Ke-29 di Stadium Tertutup Titiwangsa, malam ini.
Selepas Malaysia memenangi set pertama 22-20, Indonesia kelihatan tertekan walaupun mendahului set kedua 16-10 kerana beberapa kali servis tekongnya dibatalkan pegawai perlawanan.
Ketika perlawanan rancak berlangsung pada kedudukan itu, pegawai perlawanan, Mohd Radhi Che Mei dari Singapura, sekali lagi menyalahkan tekong itu, sekaligus membawa keputusan regu Indonesia untuk keluar gelanggang dan enggan meneruskan perlawanan.
Sekalipun perbincangan diadakan dengan pengadil beberapa kali memanggil mereka masuk ke gelanggang semula, kem Indonesia tetap dengan keputusan itu dan kelihatan jurulatihnya, Asry Syam, berang sambil berlalu pergi.
Tindakan tersebut menghadiahkan Malaysia kemenangan percuma untuk meraih dua mata, dan menjadikan pingat perak dalam genggaman skuad bimbingan Mohd Fikri Mohd Nor.
Sekiranya Malaysia menumpaskan juara bertahan, Thailand, dalam perlawanan ketiga esok, skuad negara merangkul pingat emas acara regu wanita.
Terdahulu hari ini, Malaysia yang membariskan Nor Farhana Ismail, Siti Nor Suhaida Jafri dan Nurul Izzatul Hikmah Md Zulkifli menewaskan Filipina 21-13, 21-17 dalam tempoh 53 minit.
Acara regu wanita ini hanya disertai empat negara, iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.
Dengan menggunakan format liga sepusingan, setiap kemenangan akan meraih dua mata dan kutipan tertinggi akan menentukan kedudukan pingat.
Untuk rekod, dalam Sukan SEA di Singapura dua tahun lalu, Malaysia berkongsi pingat gangsa dengan Vietnam, sementara Thailand dan Myanmar masing-masing meraih emas dan perak. Sumber Stadium Astro by Astro Arena
No comments:
Post a Comment