Penaja Utama Makmal Informasi

Nuffnang

Penaja

Monday, April 20, 2020

[COVID-19] 36 Kes Baharu COVID-19 dan Tiada Kes Kematian Pada Hari Ini



Photo Credit to Berita Harian Online


Sidang media Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berhubung perkembangan terkini Covid-19 di Malaysia pada hari ini telah melaporkan bahawa terdapat 36 kes baharu COVID-19 nanti di Malaysia dan tiada kematian direkodkan. Manakala, sebanyak 98 pesakit telah discaj pada hari ini. Bilangan kematian pesakit COVID-19 kekal sebanyak 89 kes. Walaupun terdapat penurunan kes aktif COVID-19 di Malaysia, Datuk Noor Hisyam Abdullah menasihati rakyat Malaysia supaya sentiada patuh sepanjang tempoh PKP ini.

Berikut merupakan informasi terkini (jumlah keseluruhan) berkaitan kes COVID-19 di Malaysia

  • Bilangan kes positif: 5425 
  • Jumlah Discaj: 3295
  • Jumlah Kematian: 89

Wednesday, April 15, 2020

UPSR, PT3 Tahun Ini Dibatalkan dan SPM Ditunda Pada 2021




Pada hari ini Menteri Kanan (Pendidikan) telah mengumumkan bahawa UPSR dan PT3 tahun ini dibatalkan dan SPM akan ditunda pada 2021.

Sumber Berita Harian Online. 
KUALA LUMPUR: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid, sama juga PT3.




"Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata," katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, satu kaedah baharu untuk PT3 akan diperkenalkan.

"Keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik," katanya.


KUALA LUMPUR: Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) akan ditunda kepada suku pertama tahun depan.
Untuk calon Sijil Tinggi Persekolahan (STPM), tarikh peperiksaan Semester 2 diubah kepada Ogos ini, manakala peperiksaan Semester 3 akan diadakan dalam suku pertama tahun depan,




Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin, berkata peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) juga akan diadakan dalam suku pertama tahun depan.
“Menyedari bahawa penundaan tarikh peperiksaan ini akan memberi kesan kepada kemasukan ke peringkat pengajian tinggi, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah bersetuju untuk menangguhkan tarikh kemasukan baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma sehingga Julai atau Ogos 2021, manakala program ijazah pada September atau Oktober 2021,” katanya pada sidang media hari ini.

Tuesday, April 14, 2020

[COVID-19] 49.69% bersamaan 2478 Kes Pesakit COVID-19 Telah Pulih




Pada hari ini, Datu Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan sebanyak 202 kes pesakit COVID-19 yang telah sembuh dan  dibenarkan discaj. Manakala, kes baharu positif COVID-19 sebanyak 170 kes setakat jam 12 tengah hari tadi. Negara kita merekodkan pesakit yang sembuh melebihi pesakit yang dilaporkan positif. Semoga wabak COVID-19 akan dapat dibendung secepat mungkin dan kita sebagai rakyat Malaysia perlu memberikan kerjasama dalam menjayakan PKP Fasa Ke-3 ini. 


Sumber Berita Harian Online (Berikut merupakan berita penuh)
KUALA LUMPUR: Sebanyak 202 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, melebihi jumlah kes baharu positif COVID-19 yang merekodkan 170 kes, setakat jam 12 tengah hari tadi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata angka pulih itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,478 kes bersamaan 49.7 peratus.




Beliau berkata, peratusan pulih itu hampir separuh daripada keseluruhan dijangkiti COVID-19, iaitu 4,987 kes.
"Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa terdapat 202 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad sebanyak 2,478 kes bersamaan 49.7 peratus, iaitu hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kes.
"Hari ini juga, bilangan kes yang discaj melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.
"Sehingga 12 tengah hari (tadi), terdapat lebih 170 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 4,987 kes," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.


Setelah kes keseluruhan ditolak dengan kes discaj dan kematian, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah sebanyak 2,427 kes.
Menurut beliau, mereka diasingkan dan diberi rawatan.
"Sehingga kini, seramai 60 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 33 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Friday, April 10, 2020

Hari Ini Keputusan Sama Ada Tempoh PKP Dilanjutkan atau Tidak





Pada hari ini, 10 April 2020 Perdana Menteri akan mengumumkan sama ada PKP akan dilanjutkan atau pun tidak. Mari kita semua berdoa agar kita dapat menghentikan rantaian wabak COVID-19 di negara kita dan di seantero dunia. 

Pada pukul 4.00 petang hari ini akan berlangsung perutusan khas Perdana Menteri. 




Sumber Berita Harian Online 

KUALA LUMPUR: Teka-teki status penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir 14 April ini dilanjutkan atau tidak, dijangka terjawab hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau, pada sidang media harian semalam, menjelaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka membuat satu pengumuman mengenai langkah berikutnya bagi membendung penularan COVID-19.
Kemungkinan juga berkaitan dengan status PKP yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia selepas mengharungi tempoh tiga minggu penguatkuasaan sejak 18 Mac lalu.
Kerajaan melaksanakan PKP dengan hasrat memutuskan rantaian penularan COVID-19, dengan fasa pertama dari 18-31 Mac, diikuti fasa kedua dari 1-14 April.
Setakat semalam perkembangan pandemik COVID-19 adalah memberangsangkan apabila seramai 121 pesakit disahkan pulih iaitu melebihi jumlah kes positif 109 direkodkan menjadikan keseluruhan kes positif ialah 4,228 kes, dengan 67 kematian.
Sementara itu kadar pematuhan PKP adalah 97 peratus setakat semalam dan Polis Diraja Malaysia mengeluarkan 95 notis kompaun RM1,000 setiap satu terhadap individu ingkar PKP.
Dalam perkembangan berkaitan, jumlah keseluruhan zon merah di seluruh Malaysia ketika ini sebanyak 24 kawasan iaitu lokasi mencatat kes positif COVID-19 melebihi 41 kes.
Sehingga kini, empat lokasi dikenakan PKP Diperketat (PKPD), membabitkan Simpang Renggam (Johor), Hulu Langat (Selangor), dan tiga bangunan di Kuala Lumpur iaitu Menara City One, Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion.
Simpang Renggam adalah lokasi pertama di negara ini dikenakan PKPD berkuat kuasa 27 Mac lalu selepas 61 penduduknya dikesan positif COVID-19 dan kini dilanjutkan sehingga 14 April.
Selain itu, setakat semalam, tiga negeri terus mencatat jumlah kes positif COVID-19 tertinggi iaitu Selangor (1,118 kes), Kuala Lumpur (699 kes) dan Johor (503 kes).
Justeru, kata Dr Noor Hisham, adalah menjadi tanggungjawab rakyat secara keseluruhannya untuk mematuhi PKP bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini. - BERNAMA


Monday, April 6, 2020

Jumlah Tertinggi Harian: Sebanyak 236 Kes Pesakit COVID-19 yang Telah Sembuh, 6 April 2020.




Hari ini 6 April 2020, Dato' Noor Hisyam Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan mengumumkan pada hari sebanyak 236 pesakit COVID-19 yang telah sembuh. Ini merupakan jumlah tertinggi harian bagi kes pesakit yang telah sembuh.

Berikut merupakan sumber yang diperolehi daripada instagram kementeriankesihatanmalaysia.

Terdapat 236 kes yang telah pulih dan dibenarkan pulang. Ini menjadikan jumlah pesakit yang telah sembuh dan discaj ialah 1,241.

Jumlah kes baru positif pada hari ini adalah sebanyak 131 kes.
Jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia adalah sebanyak 3,793 kes.


Terdapat 102 kes di ICU dan 54 daripada jumlah tersebut memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dukacita dimaklumkan kes kematian pada hari ini adalah sebanyak 1 kes. Keseluruhan kematian di negara kita setakat sebanyak 62 kes.


Sunday, March 29, 2020

Cara Permohonan, Pembayaran dan Semakan Status Bantuan Prihatin Nasional (BPN)




Baru-baru ini Perdana Menteri telah mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional dalam Pakej Rangsangan Ekonomi. Bantuan Prihatin Nasional mempunyai empat kategori penerima iaitu:



  1. Isi Rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah (B40) 
  2. Isi Rumah berpendapatan RM8,000 (M40) 
  3. Bujang 21 Tahun Ke atas berpendapatan RM2,000 ke bawah. 
  4. Bujang 21 Tahun Ke atas berpendapatan RM2,000 ke atas. 


Kami di Makmal Informasi menasihati anda supaya jangan tertipu dengan scammers yang cuba untuk mencuri data-data anda. Pastikan anda membuat permohonan menggunakan saluran yang betul seperti yang telah dikeluarkan di dalam siaran media Kementerian Kewangan Malaysia berkenaan Bantuan Prihatin Nasional. Kami hanya menyediakan maklumat terkini berkenaan Bantuan Prihatin Nasional sebagai rujukan anda.


Berikut merupakan cara Permohonan, Pembayaran dan Semakan Status Bantuan Prihatin Nasional Berdasarkan Siaran Media Kementerian Kewangan Malaysia. 







Friday, March 27, 2020

[COVID-19] Kerajaan Berikan Bantuan RM1600 kepada 4 Juta Isi Rumah


Sumber daripada Harian Metro. Berikut merupakan berita penuh berkaitan bantuan yang kerajaan akan berikan kepada rakyat Malaysia.

KERAJAAN bersetuju memberi bantuan sebanyak RM1,600 secara ‘one-off’ kepada empat juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah.
Selain itu, kerajaan turut bersetuju memberi bantuan RM1,000 secara ‘one-off’ kepada 1.1 juta isi rumah berpendapatan antara RM4,000 hingga RM8,000 sebulan.


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara one-off itu membabitkan peruntukan hampir RM10 bilion, dan buat pertama kalinya akan disalurkan juga kepada kumpulan M40.



“Mereka ini termasuk pekerja swasta, peneroka Felda, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah,” katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion, tadi.
Beliau berkata, bagi isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah bayaran RM1,000 akan dibayar pada April dan RM600 pada Mei.
Menurutnya, isi rumah berpendapatan antara RM4,000 hingga RM8,000 sebulan, pembayaran sebanyak RM500 akan dibuat pada April dan baki RM500 bulan Mei.
“Sebanyak RM800 akan diberikan kepada tiga juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada April dan baki RM300 pada Mei.
“Sebanyak RM500 diberikan kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada April 2020 dan baki RM250 pada Mei,” katanya.
Beliau berkata, pelajar institusi pengajian tinggi akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang yang akan dibayar pada Mei.
“Bantuan ini membabitkan peruntukan sebanyak RM270 juta kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS.


“Begitu juga dengan golongan mudah terjejas seperti warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, orang kelainan upaya atau OKU, golongan gelandangan dan orang asal.
“Kerajaan akan bekerjasama dengan NGO dan usahawan sosial yang berkaitan untuk menyalurkan bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan untuk mereka dengan peruntukan sebanyak RM25 juta,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini, Kerajaan bersetuju untuk menangguhkan bayaran balik PTPTN kepada semua peminjam selama enam bulan membabitkan kutipan sebanyak RM750 juta.
“Kini, Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh yang sama kepada peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK mulai 1 April 2020 hingga 30 September 2020, dengan anggaran kutipan sebanyak RM149.2 juta. Inisiatif ini akan memanfaatkan seramai 174,500 orang peminjam,” katanya.

Cara permohonan, pembayaran dan semakan status Bantuan Prihatin Nasional.

Thursday, March 26, 2020

Peningkatan Tertinggi dalam Sehari Kes Positif COVID-19 dengan 235 Kes Baharu, 26 Mac 2020


Pada hari ini sebanyak 235 kes (Tertinggi dalam Sehari) baharu positif COVID-19 dilaporkan dan Kes kematian terkini adalah sebanyak 23 Kes. 


Berikut merupakan Berita penuh daripada Harian Metro. 

SEBANYAK 235 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan kes positif koronavirus baharu (Covid-19) di Malaysia adalah 2,031 kes, manakala angka korban bertambah satu kes menjadikan 23 kematian.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah keseluruhan kes baharu yang dilaporkan itu, 60 kes adalah berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.
Katanya, 175 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih dalam siasatan untuk kepastian.




“Sehingga kini, 45 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 32 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.
“Dukacita dimaklumkan, terdapat satu kes kematian baharu dilaporkan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC). Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 adalah sebanyak 23 kes.
“Kes kematian ke-23 adalah seorang lelaki berusia 62 tahun dengan latar belakang penyakit kronik. Beliau menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh dan meninggal dunia 12.37 tengah hari tadi,” katanya dalam sidang media harian terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, 80 anggota kesihatan KKM dikesan positif penyakit Covid-19, namun setakat ini, tiada kes jangkitan yang disebabkan oleh pengendalian kes positif Covid-19 di fasiliti kesihatan KKM.
“Daripada jumlah itu, seramai 39 anggota adalah dari kejadian kluster di Hospital Teluk Intan, Perak. Mengambil kira situasi semasa, KKM menetapkan agar semua anggota kesihatan dan anggota sokongan untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 di hospital berkenaan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, walaupun dalam keadaan situasi wabak, KKM ingin menekankan bahawa Perkhidmatan Kesihatan Ibu Hamil dan Anak adalah berjalan seperti biasa.
Katanya, anggota kesihatan akan melaksanakan perkhidmatan lawatan ke rumah kepada ibu lepas bersalin untuk memastikan ibu dan anak dalam keadaan sihat manakala bagi ibu hamil dan ibu bapa yang berada di luar kawasan, boleh mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan.

Wednesday, March 25, 2020

[COVID-19] Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Dilanjutkan Sehingga 14 April 2020


Melalui Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini, beliau mengumumkan bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Dilanjutkan Sehingga 14 April 2020. 

Hal ini kerana, trend semasa menunjukkan kes-kes positif COVID-19 yang baharu masih berlaku. Trend ini akan dijangka akan berterusan untuk beberapaketika sebelum kes-kes baharu mula menurun. Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan bagi satu tempoh masa yang tempoh yang lebih lama. Perdana Menteri menasihati semua rakyat Malaysia supaya tidak balik ke kampung dan tidak ke mana-mana. 


Oleh itu, semua rakyat Malaysia hendaklah mematuhi segala peraturan Perintah Kawalan Pergerakan agar penyebaran wabak COVID-19 ini dapat dibendung. Semoga kita dapat menangani dan memberhentikan rantaian COVID-19 ini bersama-sama.


Monday, March 23, 2020

Wang KWSP 2 Boleh Dikeluarkan


Berita baik pada hari ini kepada pencarum KWSP. Menurut Sumber Berita Online Harian Metro, Perdana Menteri mengumumkan bahawa wang KWSP Akaun 2 boleh dikeluarkan bagi membantu mengurangkan beban rakyat susulan penyebaran wabak COVID-19. Berikut merupakan Berita penuh berkaitan hal ini. 




AHLI Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum KWSP itu berjumlah RM40 billion.

“Permohonan boleh dibuat bermula 1 April 2020. Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP, dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion.



“Saya berharap inisiatif ini dan juga pengurangan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak empat peratus yang berkuatkuasa April 2020 akan membolehkan pekerja mempunyai lebih wang dalam poket masing-masing untuk membeli barangbarang keperluan harian.

“Nasihat saya kepada anda semua yang akan menerima manfaat ini, gunalah wang ini sebaik mungkin. Beli barang-barang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini...yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga,” katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, mungkin juga wang ini sebahagiannya boleh digunakan untuk menampung bayaran bil air atau bil elektrik atau sewa rumah mengikut keperluan masing-masing.

Menurutnya, walaupun jumlahnya mungkin tak seberapa, tetapi inilah wang hasil titik peluh anda sendiri yang sepatutnya digunakan untuk hari tua, tetapi kerajaan benarkan wang ini digunakan pada masa ini memandangkan ada dalam kalangan saudara-saudari yang memerlukan.

“InsyaAllah, jika wang ini digunakan secara berhemah akan ada keberkatannya untuk saudara dan saudari seisi keluarga,” katanya.

Ia antara beberapa inisiatif diumumkan kerajaan bagi mengurangkan bebanan kewangan rakyat berikutan Covid-19 sehingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan.

Sunday, March 22, 2020

[COVID-19] Kes Kematian Ke-9: Merupakan Doktor Perubatan KKM


Berita terkini tentang Kes Kematian ke-9 pesakit COVID-19 yang merupakan seorang Doktor Perubatan KKM. Maklumat ini telah di sampaikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisyam bin Abdullah.

Berikut merupakan maklumat yang telah dikongsikan di page Facebook beliau.

Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat pertambahan satu (1) lagi kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan. Pelaporan terbaru ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak sembilan (9) setakat ini.


Kes kematian kesembilan adalah merupakan kes kematian pertama di kalangan kakitangan kesihatan yang melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia (kes ke-890) berusia 48 tahun yang merupakan seorang doktor perubatan KKM. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negera Turki. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 17 Mac 2020 setelah mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection. Beliau telah disahkan positif COVID-19 pada 18 Mac 2020 dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac 2020 setelah keadaan kesihatan beliau merudum. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 10.33 pagi, 22 Mac 2020.



Kes jangkitan COVID-19 ini disyaki bukan dari kalangan barisan hadapan (frontliners) mahupun daripada kalangan rakan kerja (working colleague) yang berhadapan dengan pesakit COVID-19. Ianya adalah berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara.

Seluruh warga KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah.


إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Friday, March 20, 2020

COVID-19 Malaysia Mencatatkan Kes Kematian yang Ketiga



Maklumat yang baru di terima daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tentang kematian ketiga bagi pesakit COVID-19 di negara. Berikut merupakan maklumat terperinci tentang kematian ketiga pesakit COVID-19.



Dukacita dimaklumkan bahawa Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima laporan satu (1) kematian COVID-19 (kes ke-152) pada hari ini iaitu pada jam 6.27 petang, menjadikan jumlah keseluruhan kematian COVID-19 setakat ini tiga (3) kes.


Kes ke-152 ini merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 58 tahun daripada kluster jemaah tabligh. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tawau pada 9 Mac 2020 dengan mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection.



Beliau telah diberi bantuan mesin pernafasan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama. Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 20 Mac 2020 pada jam 6.27 petang. Takziah diucapkan kepada keluarga arwah.



‎إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ



Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah


[COVID-19] Mulai 1 April Pemberian 6 Bulan Diskaun Bil Elektrik



Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan pemberian diskaun bil elektrik akan diberi kepada semua pengguna elektrik bagi tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September. Pemberian diskaun ini bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat dalam keadaan ekonomi negara yang mencabar susulan impak penularan wabak koronavirus (Covid-19). Berikut merupakan pemberian diskaun mengikut kategori:

Diskaun 15 % 
Bagi penggunaan elektrik kepada enam sektor perniagaan terpilih iaitu hotel; agensi pengembaraan dan pelancongan; kompleks membeli-belah; pusat konvensyen; taman tema; dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

Diskaun 2%
Semua pengguna domestik dalam kategori domestik atau rumah kediaman.

Diskaun 2%
Pengguna komersial, industri dan pertanian.

Untuk berita penuh berkaitan pemberian diskaun bil elektrik ini boleh baca berita di bawah.




KUALA LUMPUR - Diskaun bil elektrik akan diberi kepada semua pengguna elektrik bagi tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata, pemberian diskaun bil elektrik itu adalah bagi membantu meringankan beban rakyat dalam keadaan ekonomi negara yang mencabar berikutan kesan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Katanya, kerajaan bersetuju untuk memberi diskaun 15 peratus bagi penggunaan elektrik kepada enam sektor perniagaan terpilih iaitu hotel; agensi pengembaraan dan pelancongan; kompleks membeli-belah; pusat konvensyen; taman tema; dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

"Diskaun 15 peratus ini melibatkan kira-kira 10,000 pemilik akaun daripada enam sektor perniagaan terpilih yang mengguna pakai Tarif Perdagangan sahaja. Pemberian diskaun bagi tempoh ini juga akan memberi impak pengurangan bil elektrik RM40 juta bagi Semenanjung, RM20 juta bagi Sabah dan RM8.5 juta bagi Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, manfaat itu juga akan dinikmati pengguna komersial, industri dan pertanian dengan memperoleh dua peratus diskaun dalam tempoh yang sama.
"Ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.6 juta pemegang akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan penjimatan bil elektrik, dianggarkan berjumlah RM370 juta bagi tempoh enam bulan.
"Bagi Sabah, ia akan memberi manfaat kepada sekitar 99,322 pemilik akaun yang melibatkan anggaran kos RM11.5 juta manakala bagi Sarawak, ia melibatkan anggaran kos RM107.2 juta untuk 100,000 pemilik akaun," katanya.
Beliau berkata, semua pengguna domestik dalam kategori domestik atau rumah kediaman turut menikmati penjimatan bil elektrik melalui pemberian dua peratus bagi tempoh yang sama.
"Ini bermakna rakyat akan menikmati diskaun dua peratus dalam tempoh tersebut, sebagai tambahan kepada enam peratus yang telah pun dinikmati oleh pengguna domestik pada masa ini. Ia dijangka memberi anggaran penjimatan dalam bil elektrik sebanyak RM92 juta, kepada kira-kira 7.5 juta pemegang akaun TNB.
"Bagi Sabah, ia akan memberi manfaat kepada 520,378 pengguna domestik dengan kos dianggar sekitar RM5.7 juta manakala bagi Sarawak, ia akan memberi manfaat kepada 585,637 pengguna domestik dengan kos dianggarkan sekitar RM6.8 juta," katanya.
Menurutnya, kos pemberian diskaun bil elektrik itu akan ditampung kerajaan melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik bagi Semenanjung manakala Sabah dan Sarawak pula ditanggung oleh kerajaan Persekutuan. - Bernama

Maklumat terkini tentang kes kematian pesakit COVID-19 yang ke-3 di Malaysia.

Penaja