Penaja Utama Makmal Informasi

Nuffnang

Penaja

Wednesday, May 4, 2016

Graduan Perubatan dicadangkan untuk Berkhidmat di Kementerian Lain - Timbalan Pengarah Kesihatan

                                                                              Source from Mondo Portal

Sedutan berita daripada Bernama.com

KUALA LUMPUR, 3 Mei — Kementerian Kesihatan mencadangkan agar graduan perubatan boleh berkhidmat di kementerian lain dalam menangani masalah kekurangan perjawatan bagi pegawai perubatan baharu di hospital kerajaan.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr S. Jeyaindran berkata cadangan itu sebagai alternatif ekoran ramai graduan perubatan terpaksa menunggu lama sebelum mereka dapat berkhidmat di hospital kerajaan.

“Pada waktu dulu, sistem memperuntukkan agar graduan perubatan perlu bekerja di kementerian kesihatan sahaja, tetapi sekarang apabila berlaku lambakan graduan perubatan, mungkin kita perlu berfikiran secara terbuka dan di luar kotak.

“Perlu difikirkan adakah graduan ini hanya boleh bekerja di bahagian klinikal atau bekerja di kementerian lain seperti yang diamalkan di negara lain termasuk India yang membolehkan graduan perubatan mereka berkhidmat di agensi berlainan meskipun memiliki ijazah perubatan,” katanya kepada pemberita.

Beliau menyempurnakan majlis sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kebangsaan yang bertemakan ‘Workplace Stress: A Collective Challenge’ di Hospital Kuala Lumpur hari ini.
Pada majlis itu HKL turut memperkenalkan program ‘Return To Work - Doctors’ Support Group’ untuk pegawai perubatan yang mengalami tekanan kerja yang mereka akan dibantu dengan dirujuk kepada Pakar Psikiatri untuk diberi bimbingan sebelum kembali bekerja.

Dr Jeyaindran berkata cadangan graduan perubatan diambil bekerja di tempat lain dibuat kerana terdapat juga ramai graduan perubatan yang tidak tahan tekanan telah terkandas sewaktu ‘housemanship’ sehingga menyebabkan proses pengambilan pegawai perubatan baharu di hospital kerajaan turut terganggu.

“Setiap tahun kita terima 5,000 graduan perubatan menjalankan latihan tetapi daripada jumlah itu nisbah 1:5 mengambil keputusan berhenti kerana tekanan kerja dan tidak mempunyai minat mendalam.

“Sebab itu kita mahu mereka ini yang ada ijazah perubatan tidak mensia-siakannya kebolehan mereka dan dapat berkhidmat sebagai penjawat awam di kementerian lain,” katanya.

Sehubungan itu, menurutnya KKM sedang membincangkan perkara itu bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mencari dan mencapai keputusan situasi ‘menang-menang’.

“Kita telah mula berbincang, sejak dua bulan lalu dan  pelbagai perkara di ambil kira dan perlu diselaraskan termasuk perihal gaji sekiranya cadangan itu dilaksanakan,” katanya.
Ditanya mengenai perkara yang menjadi viral di laman sosial mengenai kos perubatan pesakit yang meningkat, Dr Jeyaindran  menafikan perkara itu dan sebaliknya berkata isu berkenaan mungkin mempunyai kaitan dengan propaganda pihak insurans.

“Itu mungkin anggaran kos daripada pihak insurans atau sesiapa sahaja dan mungkin anggaran daripada pihak hospital swasta (tetapi fi hospital swasta masih tertakluk dalam Akta Fi). Kalau kita sendiri (hospital kerajaan) tidak ada kenaikan kerana kita mempunyai Akta Fi (Perubatan),” katanya.

Selain itu, katanya KKM sedang menilai sama ada akta fi tersebut perlu dikaji semula kerana kos perubatan di hospital swasta masih murah berbanding di negara jiran sekali gus kesempatan itu dimanfaatkan oleh warga asing untuk mendapatkan rawatan.

“Bagi saya sendiri akta fi ini perlu dikaji kerana warga asing mendapatkan rawatan dengan kos lebih murah berbanding di negara mereka dan kita pula tidak mendapat kos yang sepatutnya,” katanya. — Bernama

#Mrd agak terkejut bila mendengar berita ini, sebab Mrd sangka Malaysia masih kekurangan doktor. Ramai juga kawan Mrd yang menyambung pengajian dalam bidang perubatan. Semoga ada jalan penyelesaian lain dalam menangani masalah ini sebab ini baru cadangan belum lagi mendapat kata putus. Para pelajar perubatan teruskan mengorak langkah untuk mencapai cita-cita kalian. Jangan pula ada yang putus asa, Mrd tahu bidang perubatan memang sangat-sangatlah susah. Apa-apa pun doakan yang terbaik saja dalam hal ini.

No comments:

Post a Comment

Penaja